Pengenalan
Jelebu merupakan sebuah daerah di Negeri Sembilan yang terdiri daripada lapan mukim, iaitu Kuala Klawang, Hulu Triang, Kenaboi, Pertang, Peradong, Hilir Triang dan Gelami Lemi. Pembukaan Jelebu berkait rapat dengan sejarah kedatangan orang Minangkabau yang terawal ke Semenanjung Malaysia. Berdasarkan sumber-sumber lisan, Jelebu dibuka oleh orang yang berketurunan Maharaja Alif yang menegakkan kerajaan Pagar Ruyung. Bangsawan itu menggunakan nama Batin Terjali. Dia berkahwin dengan Puteri Embong Sari Alam dan membuka beberapa perkampungan di Tanah Melayu. Batin Terjali telah meninggalkan anaknya menjadi penghulu di setiap tempat yang dibuka di Johor, Klang dan luak-luak yang empat di Negeri Sembilan.
Bangunan Majlis Daerah Jelebu
Dalam pengembaraan Batin Terjali untuk meluaskan pemerintahannya, dia sampai ke Bukit Kundang Kundik di Jelebu. Di sinilah isterinya, Puteri Embong Sari Alam telah melahirkan seorang putera yang dinamakan Dato’ Niko Menteri Syah Mangku Alam Raja Sari. Ketika itu, Jelebu didiami oleh Orang Asli, terutama suku Biduanda dan Jakun. Sebelum meneruskan pengembaraannya, Batin Terjali telah meninggalkan putera-puteranya untuk dijaga oleh Batin Lambang Setia, ketua suku Biduanda di situ dan To’ Jerang Singa Raja. Dia berpesan supaya putera-puteranya dijadikan penghulu di situ apabila mereka telah dewasa.
Orang Asli itu benar-benar patuh pada janji mereka dan melaksanakan semua pesanan itu. Maka wujudlah pemerintahan Kelana Putera di Sungai Ujung, Johan Pahlawan Lela Perkasa di Johol dan Dato’ Niko Menteri Syah Mangku Alam Sari di Jelebu. Sebelum Batin Terjali dan isterinya ghaib, mereka telah memanggil semua anak dan kerabatnya yang memerintah di tanah besar ini berhimpun di suatu tempat, iaitu Bukit Pertemuan Raja-raja. Dia ingin menetapkan adat dan peraturan pemerintahan dengan memberi penekanan lebih kepada pengekalan Adat Perpatih.
Batin Terjali berwasiat kepada Dato’ Niko Menteri Syah Mangku Alam Raja Sari, Batin Lambang Setia dan To’ Jerang Singa Raja supaya berusaha membuka negeri yang terdapat sebatang tongkat dan sedulang nasi. Untuk melaksanakan wasiat Batin Terjali, ketiga-tiga mereka keluar mencari tempat tersebut untuk diterokai. Akhirnya mereka berjaya menemui tempat itu dan menamakannya Kampung Kuala Dulang. Maka bermulalah penerokaan Jelebu oleh Dato’ Niko Menteri Syah Mangku Alam Raja Sari, Batin Lambang Setia dan To’ Jerang Singa Raja.
Asal-usul Nama Jelebu
Ketika itu kawasan Jelebu dikenali sebagai Sungai Lumut dan kemunculan nama Jelebu tidak dapat dipastikan. Ada cerita mengatakan Jelebu adalah nama seorang pemuda yang mati lemas di Sungai Teriang di kawasan itu. Dalam catatan Persatuan Sejarah Jelebu mengatakan ceritanya begini; nama Jelebu berasal dari dua kisah yang diceritakan secara lisan sejak dari dahulu hingga ke hari ini. Kisah pertama, pada suatu hari, Tok Batin Jelebu iaitu ketua suku kaum Asli yang mendiami kawasan sekitar Sungai Lumut, sedang berkerja di ladangnya. Setelah berasa penat dia mengajak isterinya berehat sambil melihat pokok labu yang mereka tanam tumbuh dengan suburnya. Apabila hari menjelang petang isterinya mengajak Tok Jelebu pulang ke rumah. Tetapi kata Tok Jelebu dia hendak mandi dahulu di Sungai Lumut.
Maka Tok Batin Jelebu pun turun ke dalam Sungai Lumut untuk mandi dan membersihkan dirinya. Sedang dia asyik mandi tiba-tiba hujan turun dengan lebat diikuti dengan kilat sabung menyabung. Dan dengan tiba-tiba sahaja maka air Sungai Lumut itu pun pasang. Tok Batin Jelebu tidak sempat naik ke darat dan beliau dihanyutkan oleh air sungai yang deras itu.
Isteri Tok Batin Jelebu berasa risau kerana suaminya masih belum pulang ke rumah. Tambahan pula ketika itu hujan turun dengan lebatnya. Sebaik sahaja hujan reda maka isteri Tok Batin Jelebu segera pergi ke Sungai Lumut untuk mencari suaminya. Namun setelah puas dicari dan dipanggil namanya, Tok Batin Jelebu seolah telah hilang ghaib secara tiba-tiba.
Berita hilangnya Tok Batin Jelebu cepat merebak di kalangan orang-orang asli di kawasan tersebut dan mereka keluar beramai-ramai untuk mencari namun tidak berjaya ditemui. Akhirnya mereka yakin bahawa Tok Batin Jelebu mati lemas di Sungai Lumut dan mayatnya dibawa arus. Sebagai mengenang nama Tok Batin Jelebu maka tempat itu dinamakan Jelebu.
Masjid Kuala Dulang dulu.
Kisah kedua pula ada kaitan dengan nama buah labu. Setelah Tok Batin Jelebu mati maka pokok labu yang ditanam di ladangnya tumbuh subur dan banyak mengeluarkan buah. Maka ramailah orang datang ke situ memungut buah labu tersebut. Mereka namakan tempat itu ‘Jalar Labu’ tetapi akhirnya bertukar menjadi Jelebu.
Masjid Kuala Dulang kini
Penempatan baru di Kampung Kuala Dulang itu berkembang maju lalu Batin Lambang Setia menukarkan namanya kepada Batin Maha Galang.
Pemerintahan Jelebu Peringkat Awal
Selepas kematian Batin Maha Galang, tampuk kuasa Jelebu berpindah kepada Dato’ Niko Menteri Syah Mangku Alam Raja Sari dan To’ Jerang Singa Raja. Apabila Dato’ Niko Menteri Syah Mangku Alam Raja Sari meninggal dunia, Jelebu diperintah oleh anaknya yang bernama Kempai dan dibantu oleh To’ Jerang. Pemimpin baru itu mewarisi gelaran Dato’ Niko Menteri Syah Mangku Alam Raja Sari.
Semasa pemerintahan Raja Seli Kempai ramai orang Minangkabau datang ke Jelebu. Orang pertama tiba di sini ialah dua orang ulama istana yang bertanggungjawab mengislamkan penduduk daerah ini, iaitu Tok Kadi Padang Genting dan Khatib Mudim Sunat. Terdapat juga cerita lain yang mengatakan orang yang mula-mula datang ke Jelebu kononnya datang melalui segenting jalan bernama Langkap. Mereka menghilir kedua tempat bernama Kemin dan Sarin. Di sana mereka bersemenda dengan orang Biduanda waris Menteri dan waris Umbi, iaitu penduduk asal di kedua-dua tempat itu.
Dalam daftar nama undang atau penghulu Jelebu, orang yang dicatat sebagai penghulu pertama ialah Tok Gombak yang berasal dari Pagar Ruyung, kemudian disusuli oleh Tok Mentunggang dan Tok Moyang Salleh (undang Jelebu yang pertama memakai gelaran Datuk Mandulika Menteri Akhir Zaman, Sultan Jelebu). Dalam daftar tersebut, dua tokoh yang teratas ialah Tok Gombak dan Tok Metunggang telah pun memakai gelaran Penghulu Jelebu.
Campur Tangan Inggeris Pada Abad ke-19
Pada zaman dahulu Jelebu mempunyai yamtuannya sendiri. Yamtuan pertama Jelebu ialah Raja Adil, adik Raja Melewar. Walau bagaimanapun sejarah menafikan cerita ini. Tokoh sebenarnya ialah Tengku Ahmad Syah yang memerintah sekitar 1820. Pada masa Yamtuan Abdullah, baginda telah melampaui adat dan kuasa yang telah ditentukan. Pada tahun 26 April 1877, Raja Abdullah bertindak sendirian untuk menandatangani satu perjanjian dengan Gabenor Negeri-negeri Selat. Baginda tidak memberitahu datuk-datuk dan orang besar Jelebu berkenaan sebelum membuat perjanjian tersebut. Menurut undang-undang adat, Yamtuan Muda tidak boleh mencampuri urusan negeri atau memungut cukai. Pembesar-pembesar juga tidak berpuas hati dengan syarat perjanjian yang antaranya menetapkan Maharaja Johor sebagai penimbang tara dalam perselisihan yang tercetus.
Pada tahun 1880, baginda menjatuhkan hukuman bunuh terhadap seorang pegawai istana penghulu Jelebu. Akibat daripada itu, timbullah perbalahan dalam pemerintahan Jelebu. Datuk Penghulu Syed Ali Pertolongan Gabenor-gabenor Negeri-negeri Selat diminta untuk menyelesaikan masalah itu. Pada 24 Ogos 1883, orang besar Jelebu telah membuat perjanjian dengan Inggeris dan bermulalah campur tangan Inggeris dalam pentadbiran Jelebu.
Datuk Penghulu Syed Ali cuba menyingkirkan Yam Tuan Muda Tuanku Abdullah tetapi gagal kerana tidak semua pembesar menyokongnya. Antara pembesar yang menyokong Tuanku Abdullah termasuklah Datuk Raja Balang Long Ketua Waris Ulu Jelebu, Dato’ Menteri Ahat, Datuk Maharaja Inda Latif dan Datuk Lela Angsa Haji Othman Ketua Suku Tiga Batu. Apabila perselisihan tidak dapat dicapai semua pihak bersetuju merujuk hal tersebut kepada Inggeris. Satu perjanjian ditandatangani pada 24 Ogos 1883 di mana pihak Inggeris diwakili oleh Sir Frederick Weld. Semua pihak yang bertelingkah bersetuju menerima campur tangan Inggeris dan kedudukan Yam Tuan Muda Tuanku Abdullah kekal. Residen Sungai Ujong dilantik untuk membantu mereka dalam hal-ehwal pentadbiran Jelebu.
Kemangkatan Tuanku Abdullah pada bulan Disember 1884 telah mengeruhkan lagi keadaan. Berlaku persaingan merebut jawatan tersebut. Datuk Penghulu Syed Ali mahu melantik Tuanku Idris tetapi ditentang oleh Tuanku Nambul (anakanda Tuanku Abdullah) dan Tuanku Muda Cik (adinda Tuanku Abdullah). Pada bulan Jun 1885, E. P. Gueritz dihantar ke Jelebu sebagai Pemungut Cukai oleh kerajaan lnggeris. Datuk Syed Ali mencadangkan supaya jawatan Yam Tuan Muda dihapuskan sebagai jalan penyelesaian. Hal ini juga disokong oleh Datuk Yang Berlapan. Semasa lawatan ke Jelebu pada bulan Mac 1886, Gabenor Negeri-Negeri Selat telah bersetuju dengan cadangan tersebut. Seorang Residen lnggeris telah ditempatkan di Jelebu mengikut perjanjian yang ditandatangani pada bulan September 1886.
Penyatuan Jelebu dengan Luak Lain
Muzium Adat
Pada 13 Julai 1889, Yam Tuan Besar Sri Menanti Tuanku Mohamad Ibni Almarhum Tuanku Antah bersama-sama pemerintah-pemerintah Johol (termasuk Gemenceh), Inas, Ulu Muar, Jempol, Gunung Pasir dan Terachi, Tunku Syed Hamid, Tampin dan Dato’ Setia Raja Rembau dengan rasminya bersetuju menerima perlindungan British dan bersetuju membentuk satu persekutuan yang dinamakan Negeri Sembilan. Persetujuan ini dibuat melalui satu perjanjian yang ditandatangani bersama oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Cecil Clementi Smith. Persekutuan ini mengandungi negeri-negeri dalam kawasan Sri Menanti iaitu Johol (termasuk Gemenceh), Inas, Ulu Muar, Jempol, Gunung Pasir, dan Terachi; negeri-negeri Rembau dan Tampin. Seorang Residen British dipersetujui akan dilantik untuk membantu pentadbiran kerajaan persekutuan ini. Dalam persekutuan ini tidak seorang pun pemerintah yang melebihi kuasanya dari pemerintah yang lain. Dengan ini kawasan Negeri Sembilan terbahagi kepada dua unit pentadbiran yang diakui oleh Inggeris. Pertama ialah kawasan bahagian Timur yang mengandungi Sungai Ujung (termasuk Jelebu) di bawah Residen Sungai Ujung, W.F.B. Paul, dan yang kedua ialah bahagian Barat dengan nama Negeri Sembilan di bawah Residen Negeri Sembilan, Martin Lister. Keadaan ini berkekalan hingga ke tahun 1895 apabila pada 8 Ogos 1895, sekali lagi Yamtuan Besar Sri Menanti bersama-sama Dato’ Sedia Raja Rembau Sirun dan Dato’ Tampin disertai pula oleh Dato’ Bandar Ahmad Sungai Ujung, Dato’ Jelebu Syed Ali, dan Dato’ Johol telah menandatangani perjanjian di hadapan Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Charlis Bullen Hugh Mitchell, menyatakan menerima perlindungan Kerajaan British dan bersetuju untuk menubuhkan Persekutuan Negeri Sembilan yang lebih besar. Mereka juga bersetuju supaya dilantik seorang Residen dan bersedia menurut nasihat-nasihatnya dalam semua perkara mengenai pentadbiran negeri kecuali yang berkaitan dengan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Dengan termaktubnya perjanjian ini maka tertubuhlah Negeri Sembilan yang wujud hingga sekarang. Martin Lister telah dilantik sebagai Residennya yang pertama. Persekutuan Negeri Sembilan menjadi lebih mantap dengan terbentuknya perlembagaan tahun 1898 di bawah Yang Dipertuan Besar.
Kini terdapat empat luak di Negeri Sembilan yang mempunyai Undang yang berkuasa menentukan perlantikan Yang Dipertuan Besar. Undang-undang itu ialah Undang Luak Johol, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Rembau dan Undang Luak Sungai Ujong.
Penutup
Suatu masa dahulu iaitu sebelum abad ke-21, biasanya Jelebu sinomim sebagai kawasan yang sukar dikunjungi, jalannya berliku-liku persis Cameron Highlands. Namun kini Jelebu telah menjadi jalan pintas ke beberapa kawasan di Batu Kikir, Bahau dan Gemas. Oleh itu, jalan di hadapan rumah saya yang kira-kira 9 km dari bandar Kuala Klawang semakin sibuk. Jalan berliku telah tiada lagi. Jalan-jalan yang berbentuk U telah diluruskan memendekkan perjalanan likuan dari 15 km kepada 8 km sahaja. Jelebu makin mudah didatangi. Selain melalui Bukit Tangga dari arah Seremban, Jelebu boleh dimasuki melalui Segenting Pras yang boleh keluar di Ampang, Hulu Langat, dan melalui Kuala Pilah terus ke Batu Kikir dan seterusnya ke Simpang Pertang. Jelebu tercatat dalam buku-buku geografi tempatan sebagai tempat paling kering di Malaysia. Ini kerana ia berada di penghujung Banjaran Titiwangsa di mana udara terhalang menghampirinya, namun jika berlaku hujan monsun, Jelebu paling lambat kering kerana ia seolah-olah berada dalam kawasan lembah.
Beberapa tempat menarik di Jelebu yang biasa dikunjungi ialah Jeram Toi dan Lata Kijang. Terdapat juga Jeram Gading, Muzium Adat yang kini memasuki peta pelancongan Malaysia selain Masjid Kuala Dulang dan Makam Moyang Salleh yang mempunyai sejarah tersendiri.
YANG TERAMAT MULIA DATO’ MENDIKA MENTERI AKHIRUL ZAMAN DATO’ MUSA BIN WAHAB, D.T.N.S., PJK, UNDANG LUAK JELEBU

Tak perlu pergi jauh untuk menikmati suasana dingin pagi berkabus, ada di Bukit Tangga.

Bila matahari mula muncul, begitu indah.

Antara jalan lurus yang agak berbahaya kepada kenderaan berat. Sila hati-hati sebab di penghujung jalan ada selekoh tajam menanti.